
KUALA LUMPUR, 2 April – Profesion guaman perlu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa termasuk perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
- Peguam tidak boleh bergantung semata-mata pada kemahiran teknikal; mesti menjadi autoriti etika dan tunjang moral memastikan keadilan.
- Miliki empati untuk memahami trauma manusia; galakkan mediasi, rundingan dan perdamaian bagi penyelesaian pertikaian menyeluruh.
- Sesuaikan profesion guaman dengan teknologi seperti AI, serta kuasai isu rentas sempadan, aset digital dan perubahan iklim.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peguam tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada kemahiran teknikal, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih besar sebagai pembimbing etika dalam sistem perundangan.
“Mereka (peguam) mesti menjadi autoriti etika, atau jika boleh saya katakan, sebagai tunjang moral, memastikan bahawa sesuatu yang betul itu juga adil.
“Mereka juga perlu memiliki empati untuk memahami trauma manusia di sebalik pertikaian undang-undang.
“Ini akan membolehkan bidang guaman berkembang ke arah penyelesaian pertikaian yang lebih menyeluruh, di mana kaedah alternatif seperti mediasi, rundingan dan perdamaian dapat memberikan penyelesaian sebenar, khususnya dalam pertikaian undang-undang individu dan persendirian di peringkat domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026 di Universiti Malaya hari ini.
Menurut beliau, landskap perundangan global yang semakin kompleks turut menuntut peguam memiliki keupayaan mengendalikan isu rentas sempadan, termasuk melibatkan aset digital dan perubahan iklim.
“Dalam dunia yang semakin bersepadu, peguam perlu berperanan sebagai arkitek moral dalam memastikan prinsip keadilan tidak diketepikan demi keuntungan,” katanya.
Tambah beliau perubahan tersebut memerlukan profesion guaman bukan sahaja menguasai teknologi, malah memahami konteks sosial dan kemanusiaan dalam setiap kes yang dikendalikan.
“Keperluan untuk menggabungkan undang-undang dengan nilai kemanusiaan bukan lagi sekadar ideal, tetapi satu matlamat nyata yang perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Malaysia menjadi tuan rumah bagi CLEA 2026 yang berlangsung sehingga esok dengan menghimpunkan kira-kira 350 perwakilan dari seluruh negara Komanwel, termasuk hakim, pengamal undang-undang, ahli akademik, pembuat dasar, dan pelajar undang-undang.
Hadir sama, Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Hakim, Prashant Kumar Misra yang mewakili Ketua Hakim Negara India, Surya Kant.
Penaung CLEA, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Pro-Canselor Universiti Malaya merangkap Perunding CLEA, Tan Sri Datuk Zainun Ali; Presiden CLEA, Prof Dr S Sivakumar dan Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.