PUTRAJAYA, 1 Disember - Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tindakan segera telah diambil terhadap beberapa pegawainya yang didakwa terbabit dalam aktiviti tidak bermoral seperti dilaporkan baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, KPM menekankan bahawa pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan songsang dalam kalangan warga kementerian.
"Siasatan dalaman sedang dijalankan dan pegawai yang terlibat telah dipindahkan serta tidak lagi ditempatkan di mana-mana institusi pendidikan di bawah kementerian sehingga siasatan selesai," menurut kenyataan tersebut.
KPM turut mengingatkan semua ketua jabatan supaya memperkukuh pemantauan dan memastikan sebarang kegiatan tidak bermoral dibanteras di semua peringkat.