fb fb fb fb fb

Pegawai kanan MBSA antara sembilan yang ditahan SPRM berhubung kartel monopoli projek

(FOTO HIASAN)

GEORGE TOWN, 30 September - Seorang pegawai kanan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) antara sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kartel yang dipercayai memonopoli tender projek MBSA.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata siasatan awal mendapati pegawai kanan terbabit menerima habuan barangan yang berharga puluhan ribu ringgit.

(Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki)

Menurutnya, SPRM kini sedang giat menjalankan siasatan bagi membongkar bagaimana kartel rasuah itu berlaku.

"Kita sedang siasat bagaimana perbuatan rasuah itu berlaku dan bagaimana sebuah syarikat mengawal 30 syarikat lain untuk dapatkan projek di jabatan berkenaan di MBSA,” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog Program Cakna Rasuah SPRM bersama media zon utara, di sini, semalam.

Pada Ahad lepas, SPRM menahan tiga individu iaitu dua pegawai MBSA dan seorang kontraktor dipercayai berhubung projek kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Tan Sri Azam berkata SPRM akan membuat tapisan terhadap calon-calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, ia bagi memastikan calon yang bertanding benar-benar bersih dan tidak terpalit dengan isu rasuah.

Selain menguatkuasakan undang-undang SPRM, pihaknya akan berkerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan PRU berjalan lancar, berintegriti dan bersih.

"Pertama, kita memantau isu-isu rasuah dalam pilihan raya dan kita akan menguatkuasakan undang-undang kita, yang paling utama ialah atas kesalahan pilihanraya 1954, akta ini masih wujud lagi walaupun sudah lama," katanya.

Media Baharu