fb fb fb fb fb

Ejen jualan kosmetik diculik ke Thailand berjaya diselamatkan

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 30 September - Ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang diculik oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lepas berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mangsa berusia 36 tahun itu diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat dan perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.

(Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani / FOTO FAIL)

"Dalam kes ini seramai tujuh orang suspek lelaki warga tempatan telah ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. Turut dirampas adalah sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Acryl Sani, PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan atas kerjasama dan bantuan dalam usaha menyelamatkan mangsa.

Dalam kejadian pada 13 September lalu, mangsa diculik oleh beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada pukul 5.10 petang.

Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.


Berita BerkaitanPolis Thailand edar gambar wanita mangsa culik

Media Baharu