fb fb fb fb fb

Jawatankuasa Teknikal teliti isu kekurangan bekalan telur - Mustapa

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 30 September - Isu kesukaran mendapatkan bekalan telur ayam di sesetengah kawasan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Isnin ini.

Pengerusi Gantian Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pasukan itu telah diberi laporan berhubung kekurangan bekalan telur gred A,B,C dan D di pasaran.

(Pengerusi Gantian Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi,
Datuk Seri Mustapa Mohamed)

“Mesyuarat akan diadakan dengan persatuan penternak telur dan agensi berkaitan, antara lain mencari punca dan jalan penyelesaian kepada permasalahan tersebut,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ke-19, di sini, semalam.

Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan bekalan telur sukar didapati di Langkawi, Kedah, Jerantut, Pahang dan Hulu Terengganu di Terengganu.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof baru-baru ini dilaporkan berkata masalah kekurangan bekalan telur ayam bukan satu krisis, tetapi disebabkan masalah teknikal, selain memberi jaminan isu berkenaan akan dapat ditangani dan diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, Mustapa berkata bekalan dan harga ayam di peringkat borong dan runcit berada dalam keadaan stabil, dengan harga purata ayam standard bersih berada pada paras RM8.78 sekilogram.

Media Baharu