KUALA LUMPUR, 3 Mac- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk dilepas tanpa dibebaskan atas enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC).
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan keputusan tersebut selepas mengambil kira faktor pihak pendakwaan telah bersedia dengan perbicaraan.
"Permohonan untuk dilepaskan tanpa dibebaskan hanya boleh dibuat sekiranya pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes.
Sebelum ini mahkamah sudah menetapkan tarikh perbicaraan selama 32 hari pada September 2021 namun dilapangkan atas permohonan pihak pendakwa dan tidak dibantah pihak pembelaan,"katanya.
(Gambar fail)
Hakim kemudian menetapkan 1 hingga 4 April dan 8 hingga 11 April serta sepanjang Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan baharu kes tersebut.
Pada 24 Oktober 2018, Datuk Seri Najib dan Tan Sri Mohd Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada IPIC.
Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara tahun 2016 dan 2017.
Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.