PUTRAJAYA, 31 Mac - Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan peniaga kecil perlu memainkan peranan masing-masing dengan penuh amanah dan tanggungjawab demi keharmonian serta kepentingan bersama.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam kenyataan berkata, PBT mesti menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan integriti, manakala peniaga pula perlu memastikan bahawa mereka mematuhi undang-undang dengan memperoleh lesen atau permit sah sebelum berniaga.
“Saya memahami ramai peniaga kecil gigih mencari rezeki sepanjang musim perayaan ini. Pada masa sama, PBT perlu melaksanakan tanggungjawab mereka supaya kawasan perniagaan selamat dan selesa untuk orang ramai.
“Kerjasama dan persefahaman antara dua pihak adalah kunci kepada keharmonian masyarakat. Justeru, jika berlakunya permasalahan atau pertelingkahan, kita mesti mencari cara penyelesaian secara rasional supaya mengelakkan sebarang kejadian yang boleh menjejaskan keharmonian,” katanya.
Nga berkata pihaknya akan terus memastikan semua PBT mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam proses penguatkuasaan supaya aktiviti perniagaan dapat berjalan dengan lancar, selain kesejahteraan masyarakat turut terpelihara.
Sebelum ini, tular video pergelutan antara penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan seorang penjaja belon Muhamad Za’imuddin Azlan yang mendapat reaksi ramai dan kes itu kini dalam siasatan pihak polis.