SEREMBAN, 31 Mac- Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar rakyat mengambil peluang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk terus mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan serta saling membantu antara satu sama lain.
Baginda bertitah semua pihak perlu menjadikan akhlak Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dalam menyemai keamanan, keharmonian dan kemakmuran dalam masyarakat.
"Beta menyeru semua lapisan masyarakat agar mengambil peluang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini untuk mengeratkan silaturahim melalui amalan bermaaf-maafan dan kunjung-mengunjung, menunjukkan keprihatinan serta bantu-membantu antara satu sama lain, terutama kepada golongan yang memerlukan.
"Sentiasa menghormati proses undang-undang dan bekerjasama dengan pihak berkuasa demi memastikan keselamatan serta kestabilan bersama.
"Elakkan politik yang boleh menyebabkan persengketaan dan permusuhan sesama Islam serta antara Islam dan bukan Islam," titah menerusi perutusan khas baginda sempena Aidilfitri 2025/1446H.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), para petugas keselamatan, anggota perkhidmatan kesihatan serta semua wira negara yang telah berkorban demi kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negeri serta negara.