KUALA LUMPUR, 31 Mac- Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara hari ini berlangsung meriah dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Majlis tersebut merupakan penganjuran kali kedua sejak Sultan Ibrahim ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Julai 2024.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Turut serta anggota Jemaah Kabinet, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.
Perwakilan asing dari United Kingdom, Turkiye, Mesir, Indonesia dan Thailand turut menghadiri majlis tersebut.
Antara hidangan yang disajikan ialah kacang phool, laksa Johor dan mi rebus Johor yang sinonim dengan negeri kelahiran Seri Paduka Baginda. Majlis turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu raya malar segar oleh Unit Pancaragam Johor Military Force.
Terdahulu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah.
BERITA BERKAITAN