KUALA LUMPUR, 31 Mac- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pagi ini berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 8.15 pagi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir, jemaah menteri termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Ini merupakan kali pertama Sultan Ibrahim menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan selepas melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024.
Seusai solat, Seri Paduka Baginda berangkat ke Istana Negara bagi menghadiri Majlis Ramah Aidilfitri bersama jemaah menteri.