fb fb fb fb fb

Pasukan Petugas 5G bermesyuarat secara tetap dengan MNO

KUALA LUMPUR, 1 Jun- Pasukan Petugas Khas Dwirangkaian 5G akan terus berbincang dengan pengendali rangkaian mudah alih (MNO), termasuk mengenai ekuiti.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menjelaskan pasukan berkenaan juga telah mengadakan mesyuarat secara tetap.

"Mereka bermesyuarat secara tetap termasuk hari ini untuk berbincang dengan MNO, pertama mengenai pelancaran 5G dan kedua adalah mengenai persoalan ekuiti.

"Kami serah kepada industri untuk membuat keputusan di antara mereka tetapi kerajaan akhirnya menerusi Kabinet akan memutuskan mengenai proses yang bukan sahaja akan dipandu, malah tertakluk kepada kelulusan kerajaan dan kami mahu memastikan ekosistem telekomunikasi yang mampan," katanya.

(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Telekom Malaysia Bhd (TM) dan ZTE Malaysia Corporation Sdn Bhd, di sini hari ini.

Pasukan petugas 5G dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha KKD, Mohamad Fauzi Md Isa.

Kerajaan memutuskan melaksanakan rangkaian dwi 5G sebaik pelancaran di bawah DNB telah mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Penamatan khidmat Prof Dr Md Nasir keputusan Lembaga Pengarah Finas

Dalam perkembangan lain, Fahmi memberitahu penamatan perkhidmatan Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuat kuasa hari ini, merupakan keputusan Lembaga Pengarah FINAS.

Keputusan itu dibuat sebagai langkah penstrukturan semula beberapa dasar dan rombakan penyelarasan bagi hala tuju masa depan Finas. 

"Mereka telah memaklumkan kepada saya dan ia berdasarkan beberapa perkara yang ingin dilaksanakan termasuk satu rombakan penyelarasan.

"Penjajaran semula recalibration, tentang beberapa dasar dan dapatan yang kami terima dan juga pandangan yang kami terima daripada pihak Lembaga Pengarah tentang hala tuju Finas," menurutnya.

Media Baharu