fb fb fb fb fb

Kumpulan kedua pasukan SAR berlepas ke Turkiye

SEPANG, 9 Februari- Malaysia menggerakan kumpulan kedua pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke Turkiye malam tadi.

Seramai 70 anggota penyelamat tambahan di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), turut dihantar ke Turkiye.

Pasukan kedua itu melibatkan 30 anggota bomba, serta 20 anggota masing-masing dari Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kumpulan kedua itu dihantar atas permintaan kerajaan Turkiye.

Ia berikutan kawasan bencana yang luas meliputi keluasan 450 kilometer persegi.

"Kita sedia maklum bahawa pasukan SMART kita merupakan antara pasukan SAR yang diiktiraf mempunyai pensijilan antarabangsa dan kerana hubungan baik kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Turkiye, mereka memohon bantuan tambahan dan kabinet pada pagi tadi meluluskan untuk memghantar segera pasukan kedua yang bergerak serta merta malam ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan kumpulan kedua pasukan SAR Malaysia ke Turkiye di lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Tambahnya, kedua-dua pasukan SAR yang dihantar tersebut akan berada di sana selama 14 hari dan bebas bergerak ke semua kawasan terlibat untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

Sementara itu, Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel mengucapkan terima kasih atas solidariti yang ditunjukkan kerajaan dan rakyat Malaysia atas bencana yang menimpa negara mereka.

(Kumpulan kedua pasukan SAR berlepas ke Turkiye)

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas solidariti dan persahabatan yang mereka tunjukkan kepada kami dalam waktu yang sukar di Turkiye ini.

"Insya-Allah dengan bantuan semua terutama Malaysia kami dapat mengatasi bencana secepat mungkin. Terima kasih sekali lagi kepada semua," katanya.

Kumpulan kedua pasukan SAR tersebut berlepas ke Turkiye pada pukul 11.45 malam dengan menaiki pesawat Turkish Airlines.

Media Baharu