fb fb fb fb fb

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi usaha atasi peningkatan harga ayam - Annuar

KOTA BHARU, 29 Oktober - Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan terus berusaha membantu rakyat menangani masalah peningkatan harga ayam dan kekurangan bekalan telur sejak kebelakangan ini walaupun ia sukar dilakukan berikutan kedudukan kerajaan sementara sekarang, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pihaknya mengakui berdepan beberapa kekangan untuk mengambil tindakan segera berhubung isu terbabit memandangkan kerajaan dibentuk ketika ini adalah kerajaan sementara.

Pihaknya akan bekerjasama dengan pengeluar bagi memastikan pembekalan ayam dan telur dapat dibuat dengan lebih teratur dan memohon kerjasama semua pihak dalam tempoh beberapa minggu ini.

"Saya bimbang sebab sekarang ini ada kekurangan barangan tertentu terutama telur ayam dan kita dapati tekanan harga ayam juga mula meningkat melepasi harga siling.

"Sekiranya harga dinaikkan sewenang-wenangnya, kita tidak dapat menangani masalah ini dengan segera kerana kita dalam kerajaan sementara. Oleh itu, kita mohon kerjasama semua pihak supaya tidak menambahkan lagi masalah ini," katanya di sini. 

(Annuar bercakap kepada pemberita selepas menghadiri
Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) Melor)

Mengulas mengenai PJMKM, Annuar berkata setakat ini program itu telah melibatkan penyertaan hampir 600 premis.

"Apa yang saya hendak tekankan supaya semua premis mematuhi format yang kita tetapkan termasuk pemakluman secara meluas kepada masyarakat setempat, menaikkan sepanduk selain hebahan menerusi radio tempatan.

"Pada masa sama, label bagi harga jualan juga hendaklah jelas supaya tidak mengelirukan orang ramai dan menggalakkan pemilik premis itu sendiri memberi diskaun bagi barangan lain untuk memeriahkan lagi program jualan itu," katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata pada masa sama, kerajaan juga sudah meluluskan tambahan kuota minyak masak subsidi sebanyak 5,000 metrik tan sebelum ini.

Beliau berharap jumlah itu dapat menampung permintaan dan menangani kekurangan bekalan minyak terutama menjelang musim tengkujuh.


Media Baharu