LANGKAWI, 22 Februari- Pasukan DIN AMZ dari Pasir Hitam di sini dinobatkan juara dalam Acara Suluh Sotong Experience Kedah di perairan kepulauan itu dan membawa pulang wang tunai RM5,000.
Pasukan berkenaan berjaya membawa pulang hasil tangkapan seberat 28.51 kilogram (kg) sotong.
Ketua pasukan DIN AMZ, Zainal Abidin Rashid berkata, ia merupakan penyertaan pertama pasukan itu dalam acara tersebut.
"Kami turun untuk mencandat tidak tidur lagi sampai pagi ini. Alhamdulillah rezeki kami, setiap kali mencandat kita dapat empat hingga lima kilogram," katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah Acara Suluh Sotong Experience Kedah di Jeti Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Chenang di sini.
Kira-kira 30 pasukan tempatan dan negeri-negeri kawasan utara menyertai acara itu.
Sementara itu pasukan Haji Jamaari Taman Seroja di tempat kedua dan tempat ketiga diraih oleh pasukan Zafran Asyraf, masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000.
Kebiasaanya aktiviti mencandat sotong popular di Pantai Timur namun acara itu diperkenalkan kembali kerana kali terakhir dianjurkan di Langkawi pada tahun 2020.