KUALA TERENGGANU, 18 Januari- Pasar Payang di sini mengetengahkan kepelbagaian makanan tradisional sempena cuti sekolah sebagai salah satu daya tarikan pelancong ke negeri itu.
Usaha itu secara tidak langsung memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai produk makanan tempatan sekali gus membantu pengusaha kuih tradisional.
Bagi pengusaha kuih tradisional Saufi Mat Senan yang ditemui pemberita berkata, dia menyambut baik inisiatif mengetengahkan makanan tempatan kepada pengunjung.
"Saya sebagai generasi muda yang memperjuangkan kuih tradisional Terengganu iaitu 'Mek Comey' sangat bangga dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk memperkenalkan kuih ini kepada pengunjung.
"Mungkin tidak ramai yang tahu, sekiranya penduduk tempatan ada yang tidak tahu apatah lagi pengunjung dari luar. Mungkin juga kuih ini mempunyai bentuk sama, namun ia mempunyai kelainan tersendiri," katanya.
Sementara itu pengunjung dari Johor Siti Nurfatin Haifaa' Farizah berkata, dia berpeluang menyaksikan sendiri pembuatan kuih tradisional Terengganu.
"Pengalaman ini sangat berharga buat kami, kerana kita dapat mengenali kuih tradisonal Terengganu dan cara pembuatannya dengan lebih mendalam.
"Seperti yang kita tahu, setiap negeri mempunyai makanan tradisional yang tersendiri, jadi ini memberikan peluang kepada generasi muda khususnya anak-anak kita untuk mencuba makanan tradisional ini," katanya.
Manakala seorang lagi pengunjung tempatan Ishak Mohamad menyifatkan usaha berkenaan memberikan peluang golongan muda mengenali kuih tradisional Terengganu.
"Saya fikir ini merupakan satu peluang yang baik untuk semua pengunjung, sebab kalau kita nak pergi ke kawasan pembuatan kuih ini munkin kita tidak akan pergi.
"Jadi apabila semuanya digabungkan bawah satu bumbung, pengunjung dapat melihat sendiri cara pembuatan dan menikmati kuih tradisional ini," katanya.