fb fb fb fb fb

Pasangan kekasih remaja ditemui mati dalam kereta

MASJID TANAH, 7 September– Seorang pemuda dan remaja perempuan dipercayai pasangan kekasih ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil di Kompleks Japerun Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka pagi tadi.

Mangsa yang masing-masing berusia 20 dan 16 tahun itu ditemui orang awam yang melaporkan kejadian kepada pihak polis pada pukul 9.25 pagi.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Razali Abu Samah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kerana terhidu gas karbon monoksida dari pendingin hawa kereta milik bapa mangsa lelaki itu.

Beliau berkata, mangsa perempuan merupakan pelajar Tingkatan 4 di sebuah sekolah di Lubuk China dan dihantar oleh rakannya untuk bertemu mangsa lelaki di Kompleks Japerun pada jam 4 petang semalam.

“Hasil maklumat awal, pihak polis telah dimaklumkan oleh rakan remaja perempuan terbabit bahawa dia telah menghantar si mati ke lokasi tersebut pada pukul 4 petang semalam bagi berjumpa pemuda berkenaan.

“Ketika itu, kereta tersebut telah diparkir di lokasi kejadian, kita percaya kedua-dua si mati ini adalah pasangan kekasih dan sengaja duduk berdua-duaan di dalam kereta serta menutupinya dengan kain kanvas bagi mengaburi keberadaan mereka,” katanya pada sidang akhbar di lokasi hari ini.


(Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah)

Siasatan polis bagaimanapun katanya mendapati tiada sebarang pergelutan, unsur jenayah mahu pun perbuatan sumbang dilakukan kedua-dua mangsa.

Ujarnya pemeriksaan lanjut menjumpai seorang pemuda di tempat duduk pemandu, manakala perempuan di bahagian penumpang hadapan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Kedua-dua mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


(Anggota polis mengangkat kedua-dua mayat yang ditemui)

Media Baharu