TAIPING, 15 Ogos - Sebanyak 36,000 liter cecair disyaki diesel dirampas dalam serbuan ke atas sebuah bengkel di Simpang, di sini, semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalluddin Ismail, berkata serbuan pada pukul 1.20 pagi itu dilakukan menerusi Op Tiris 2025 selepas pemantauan selama seminggu.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan 22 tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dan sebuah skid tank yang dilengkapi pam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori ditahan selepas gagal mengemukakan surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada pihak berkuasa.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM292,840.
“Modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan minyak diesel daripada bot nelayan dan pemandu lori yang tidak amanah. Minyak itu dibeli pada harga sekitar RM2.15 seliter sebelum dijual kepada pihak industri di pasaran gelap pada harga RM2.45 seliter,” katanya.