fb fb fb fb fb

STR Fasa 3 ringankan beban penerima di Pahang

Bantuan STR Fasa 3 sedikit sebanyak meringankan beban penerima di Pahang bagi menampung perbelanjaan harian keluarga. FOTO HIASAN/BERNAMA

KUANTAN, 15 Ogos - Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang mula dikreditkan sejak Selasa lalu memberi kelegaan kepada penerima di Pahang apabila ia dapat membantu meringankan beban perbelanjaan harian, termasuk keperluan keluarga dan pendidikan anak.

Seorang penerima, Mohd Irfan Abdul Rahim, berkata bantuan itu meringankan beban kewangan keluarganya selain membolehkan beliau membeli barangan keperluan harian dan membuat sedikit simpanan.

“Kadang-kadang bantuan ini dapat menambah dan meringankan beban kewangan kita semua. Ada masa, ia juga boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan harian atau disimpan,” katanya ketika ditemui.

Bagi Suriana Yahya, penerimaan STR memudahkan beliau menyediakan kelengkapan sekolah anak serta memenuhi keperluan keluarga pada waktu mendesak.

“Bila ada anak sekolah, bantuan ini membolehkan saya membeli barangan sekolah dan juga keperluan keluarga. Memang banyak membantu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Badrulhisham Mohd Amin berkata bantuan tersebut dapat menampung sebahagian kos pembelajaran dua anaknya yang menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM2 bilion bagi STR Fasa 3, memanfaatkan seramai 8.6 juta penerima di seluruh negara.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN