fb fb fb fb fb

Persepsi ketidaksamarataan kuasa politik, ekonomi, pembangunan harus ditangani dengan hemah - PM

KUALA LUMPUR, 7 September- Persepsi ketidaksamarataan baik dari segi kuasa politik, ekonomi mahupun tahap pembangunan antara negara dan rantau berlainan, perlu diakui dan ditangani dengan berhemah.

Ia terutamanya melalui kuasa-kuasa besar selaku pemain utama politik dan ekonomi di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata negara yang masih percaya pada hegemoni hanya akan mewujudkan perbalahan, ketegangan dan ketidakstabilan dalam aspek politik dan sosial.

"Oleh yang demikian, sebarang penyelesaian yang mahu dicari tidak sepatutnya hanya menguntungkan satu pihak semata-mata tetapi seharusnya melibatkan semua pihak. Manakala dasar sekatan sehala (unilateral sanction) yang diperkenalkan kuasa-kuasa besar dunia, telah mengakibatkan ketidakstabilan rantaian bekalan dalam meneruskan pengoperasian sektor pembuatan," katanya.

Perdana Menteri berucap ketika menyertai sesi plenari Forum Ekonomi Timur (EEF) secara dalam talian.



Setiap negara bangsa katanya perlu berani mengorak langkah ke arah mewujudkan dunia multipolar yang aman damai, menghormati diplomasi antarabangsa dan mewujudkan hubungan sejahtera sejagat.

"Semua negara harus dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan pengagihan kuasa baharu dalam mencorak masa hadapan yang lebih makmur, mampan dan saksama. Dari perspektif Malaysia, tiada negara yang boleh hidup secara terasing. Oleh itu, Malaysia sentiasa mengamalkan sikap mesra dan terbuka untuk menjalinkan persahabatan dengan mana-mana negara," ujarnya.

Malaysia juga berpegang teguh kepada prinsip Kepaksian ASEAN serta prinsip-prinsip asas seperti saling bekerjasama, menghormati kedaulatan negara serta semangat membantu negara-negara anggota bagi mencapai keamanan dan kemakmuran serantau.

EEF secara fizikal kini berlangsung di Vladivostok, Rusia.

Forum berkenaan ditubuhkan pada 2015 untuk menyokong pembangunan ekonomi Timur Jauh Rusia dan mengembangkan kerjasama antarabangsa di rantau Asia-Pasifik.

Media Baharu