KUALA LUMPUR, 31 Oktober - Balai Seni Negara menganjurkan sesi lawatan berpandu oleh artis bagi pameran Hanya Satu (Single) - “Wings Before Words” yang menampilkan karya artis tempatan, Syakir Hashim.
Menurut penganjur, sesi ini memberi peluang eksklusif kepada pengunjung untuk menyelami dunia kreatif karya yang mengangkat nilai bertentangan antara keraguan dan keyakinan, dan antara logik dan iman.
Pengunjung juga diberi peluang untuk mendapat penerangan terus mengenai proses kreatif dan mesej yang ingin disampaikan.
"Pameran ini menggambarkan perjalanan batin dan refleksi hidup yang diterjemahkan melalui penghasilan karya. Saya berharap agar pengunjung dapat menemukan makna tersendiri melalui karya yang berbicara lebih daripada kata-kata,” kata Syakir di sini.
"Setiap lapisan bahan menuntut ketelitian serta kesabaran yang tinggi, malah menjadi simbol kepada perjalanan manusia mencari keharmonian antara rasional dan kerohanian," ujarnya.
Pameran Hanya Satu (Single) - “Wings Before Words” berlangsung kini sehingga 23 Disember.
Orang ramai dijemput hadir dan masuk adalah percuma.
Maklumat lanjut boleh layari laman sesawang Balai Seni Negara.