fb fb fb fb fb

Pahang sedia laksana pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen ECRL

Foto Bernama

KUANTAN, 7 Mei - Pahang sedia melaksana pelan pembangunan berimpak tinggi di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu.

Empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberi tanggungjawab merangka pelan tindakan pembangunan Projek Pemacu Ekonomi (EAP) serta Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

PBT berkenaan melibatkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan Majlis Daerah Maran (MDM).

Menteri Besar Datuk Seri Rosdy Wan Ismail berkata, perancangan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam dalam radius 15 kilometer daripada setiap stesen ECRL.

Kawasan sekitar stesen ECRL itu disasarkan berkembang sebagai pusat pertumbuhan baharu yang inklusif dan berdaya saing.

Komponen pembangunan dikenal pasti antaranyaa pembinaan Pangsapuri Pahangku, pelabuhan darat, pusat pentadbiran dan pusat komersial, hotel dan kompleks perniagaan.

Kerajaan negeri yakin pelaksanaan projek berkenaan dapat mewujudkan peluang pekerjaan sekaligus meningkat taraf hidup rakyat serta memperkukuh jaringan mobiliti dan akses perkhidmatan di kawasan luar bandar dan bandar.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN