fb fb fb fb fb

Pahang sambut Hari Kebangsaan dengan lebih 65,000 pengunjung

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah

KUANTAN, 31 Ogos- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Pahang bersama-sama lebih 65,000 rakyat Pahang.

Acara sambutan berlangsung di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 itu, dimulakan dengan perarakan panji-panji, acara menaikkan Jalur Gemilang, bacaan ikrar, medley koir dan persembahan kebudayaan.

Acara kemudiannya diteruskan dengan perarakan pejalan kaki melibatkan Kontinjen Pewaris Bangsa terdiri daripada pelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Perarakan kemudiannya diikuti perarakan Kontinjen Pejuang Negara, Kontinjen Pembangunan dan Ekonomi, serta Kontinjen Benteng Pertahanan Negara melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

3108 SULTAN PAHANG MERDEKAKanak-kanak turut menyertai perbarisan JBPM sempena sambutan Hari kebangsaan ke-67 di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1

Pada sambutan kali ini, seramai 4,500 peserta menyertai perbarisan melibatkan 72 kontinjen pejalan kaki dan 45 kontinjen berkenderaan terdiri daripada agensi kerajaan, pasukan beruniform, agensi swasta serta pelajar sekolah.

Sambutan kali ini turut diserikan dengan persembahan Demonstrasi Aturgerak Tim Penggempur 4 Briged (Mekanize) untuk memusnahkan musuh dengan menggunakan aset-aset mekanize.

Acara turut digamatkan lagi dengan kehadiran enam buah jet pejuang iaitu pesawat Sukhoi Su-30MKM dari Nombor 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak yang membuat flypass di ruang udara bandar Kuantan.

Turut berkenan berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI