fb fb fb fb fb

Usah polemikkan tarikh 31 Ogos dan 16 September- Abang Jo

Tan Sri Abang Johari ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS / FOTO RTM

SIBU, 31 Ogos- Tarikh 31 Ogos mungkin membawa pengertian yang berbeza antara rakyat di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Namun, pengertian yang berlainan itu tidak harus menjadi halangan kepada rakyat antara ketiga-tiga wilayah berkenaan untuk saling hormat menghormati dalam usaha bersama untuk membina Malaysia yang progressif dan utuh.  
 
Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, apa yang lebih penting sebagai warganegara Malaysia dengan semangat “Segulai Sejalai" ialah rakyat Sarawak dan Sabah menghormati tarikh tersebut sebagai tarikh yang begitu penting untuk rakyat di Semenanjung dan kepada negara.

Semangat itu katanya sama seperti  menghormati tarikh 16 September yang amat bermakna kepada bukan sahaja kepada rakyat di Sabah dan Sarawak tetapi dan juga kepada negara keseluruhannya.
 
Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang akur dengan pandangan yang berbeza mengenai tarikh 31 Ogos dan 16 September dan telah bersetuju supaya 31 Ogos tidak lagi dinamakan sebagai Hari Kemerdekaan tetapi dikenali sebagai Hari Kebangsaan sejak 2015.
 
“Pada pandangan saya tarikh-tarikh ini tidak lagi harus dipolemikkan tetapi apa yang lebih penting ialah tarikh-tarikh tersebut dihormati dan difahami pengertiannya oleh semua rakyat negara ini supaya rakyat negara ini terus dapat memberi tumpuan kepada usaha pembinaan dan pembangunan negara.

“Kita harus terus bergerak ke hadapan dan tidak dikongkong oleh sentimen tersebut dan mengabaikan tanggungjawab bersama kepada negara,” katanya
 
Beliau berucap sedemikian di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) hari ini.

Mengulas lanjut, Tan Sri Abang Johari menegaskan para pemimpin terdahulu bersetuju untuk bergabung dengan wilayah-wilayah lain untuk menubuhkan Malaysia kerana tidak ingin melihat Sarawak dikuasai oleh kuasa dan ideologi lain selain daripada apa yang telah terbentuk dan menjadi amalan ketika berada bawah pemerintahan British termasuk sistem politik dan pentadbirannya.
 
“Saya percaya apa yang menjadi perkiraan penting dan ikhlas para pemimpin pada ketika itu seperti Tun Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Tan Sri Ling Beng Siew dan Tun Abang Haji Openg ialah Sarawak harus mengorak langkah ke arah kemajuan seperti yang berlaku di Malaya pada ketika itu,"katanya.
 
Ujarnya lagi, sejak 61 tahun yang lalu, tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak sudah jauh berubah daripada keadaan ketika itu.
 
Namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa banyak perkara yang masih belum tercapai dari segi pembangunan ekonomi dan infrastruktur.

“Kita yakin Sarawak boleh mengejar pembangunan seperti yang dinikmati oleh rakyat di Semenanjung dalam suasana keluarga Malaysia yang besar di mana setiap wilayah diberi perhatian dan peluang yang secukupnya ke arah kemajuan yang seimbang antara wilayah.

"Kalau Semenanjung maju, Sarawak dan Sabah juga maju, saya yakin negara ini akan menjadi lebih kukuh perpaduan rakyat dan wilayahnya,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE