fb fb fb fb fb

Lebih 20,000 pengunjung sambut Hari Kebangsaan di Negeri Sembilan

Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 31 Ogos- Lebih 20,000 pengunjung hadir ke Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Negeri Sembilan seawal pukul 6.30 pagi tadi.

Turut berangkat mencemar duli, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran Negeri Sembilan, pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Tuanku Muhriz dan bacaan doa oleh Mufti Negeri Sembilan.

Lafaz ikrar rukun negara turut dibacakan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun seiiring dengan lima das tembakan meriam melambangkan lima prinsip rukun negara.

Lebih 80 kontinjen merangkumi 5,000 peserta daripada pelbagai sektor menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Perarakan menyaksikan aset artileri dan Kontinjen Tempur Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta beberapa aset jabatan dan agensi kerajaan yang lain. 

Turut mencuri tumpuan dalam perarakan adalah Kelab Kereta Klasik dan Antik Negeri Sembilan serta Kelab Basikal Tuo Soghomban.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berharap masyarakat di negara ini dapat menjadikan pedoman atas pengorbanan pemimpin terdahulu dalam memastikan kemerdekaan yang terpelihara.

"Saya rasa bahawa 67 tahun itu amat bermakna bagi kita untuk kita isi dan kita tahu bahawa 67 tahun tu penting.

"Kita harap mereka terus berusaha sungguh-sungguh untuk menjaga keamanan di negara ini daripada fitnah dan sangkaan buruk berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sembilan di Padang MBS di sini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI