fb fb fb fb fb

Pahang harap R&R LTU diteruskan

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 8 Oktober - Cadangan pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Pahang, diharap diteruskan bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah membuat permohonan supaya kemudahan tersebut perlu dibina dalam usaha memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna mendapatkan kemudahan rehat sepanjang pemanduan.

Kerajaan Negeri juga berharap Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur itu, meskipun kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal.

"Kerajaan Pahang merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pembinaan LTU sepanjang 299.4 kilometer yang melibatkan enam pakej pembinaan dengan kos keseluruhan RM7.7 bilion.

"Namun begitu, kerajaan negeri melahirkan rasa terkilan apabila satu daripada komponen penting dalam projek ini, iaitu kawasan R&R tidak dilaksanakan, walaupun terdapat dalam skop projek dan hanya penyediaan platform dan infrastruktur sahaja yang dilaksanakan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap kepentingan pakej enam iaitu laluan Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT)-Pelangai dapat diluluskan bagi melengkapkan jaringan LTU.

Wan Rosdy berkata setakat ini empat laluan di sepanjang LTU telah pun dibuka iaitu laluan Bentong Bypass, Kampung Orang Asli Sungai Chandan-Kampung Asap, Raub Bypass dan Mentara-Kampung Seberang Jelai dengan kemajuan projek keseluruhan 66.01 peratus.

TETITIA YUSOFF