fb fb fb fb fb

Pahang dan UAE ganding bahu lindung spesis Harimau Malaya

Foto RTM

ABU DHABI, 16 Januari –Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat bercemar duli menyaksikan majlis tandatangan kerjasama strategik antara Pahang dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk melindungi Harimau Malaya yang semakin kritikal populasinya.

Keberangkatan baginda diiringi Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed yang turut hadir menyaksikan perjanjian melibatkan kolaborasi dalam melindungi Harimau Malaya.

Projek bernilai RM99.8 juta yang dibiayai oleh Tabung Pemuliharaan Spesies Mohamed bin Zayed memberi tumpuan kepada pemuliharaan spesies harimau, pemulihan habitat semula jadi serta pembangunan komuniti setempat.

Usaha tersebut akan dilaksanakan di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah yang merupakan kawasan perlindungan spesis berkenaan berkeluasan 1,340 kilometer persegi yang terletak bersebelahan dengan Taman Negara.

Antara keutamaan projek ini adalah menangani ancaman utama seperti pemburuan haram, kerosakan habitat sekaligus mengatasi isu kemerosotan populasi harimau Malaya yang kini berada di ambang kepupusan.

Kerjasama ini secara rasmi diumumkan semasa Minggu Kelestarian Abu Dhabi dan perjanjian dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Enggang Holding, YM Tengku Dato’ Aiman Putra Tengku Dato’ Sri Kamal Bahrin dan Presiden Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), Razan Al-Mubarak.

Tengku Mahkota Pahang dalam titahnya menyatakan penghargaan terhadap usaha bersama ini serta menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memulihkan populasi Harimau Malaya dan mengekalkan keseimbangan ekosistem global.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD