KAPIT, 27 November – Seorang paderi berusia 75 tahun ditemui maut selepas kereta dipandunya terjatuh ke dalam sungai berhampiran Rumah Engking Sungai Amang, Jalan Selirik, di sini pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Timothy Barat, kereta yang dipandu mangsa, Bangau Amping ditemui tenggelam ke dalam sungai yang dilimpahi air banjir.
“Mayat mangsa ditemukan terperangkap di dalam kereta oleh pasukan bomba yang bergegas ke lokasi kejadian. Orang awam juga tidak mengetahui bila kenderaan tersebut terbabas ke dalam sungai,” katanya.
Tambah Timothy, air banjir menenggelami kawasan sungai tersebut dan penduduk hanya menyedari terdapat kereta terjatuh selepas air mula surut pagi tadi.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di 11 lokasi yang dilaporkan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di sekitar Kapit.
Beberapa kawasan banjir kini dilaporkan telah mulai surut.