KUALA LUMPUR, 16 Julai- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil pengurusan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).
Ia bertujuan mendapatkan laporan tindakan susulan terhadap syor yang dikemukakan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya perlu memberi masa selama tiga bulan sebelum meneliti laporan itu untuk tindakan susulan.
"Saya mewakili PAC ingin menyatakan mengenai betapa pentingnya laporan-laporan PAC yang telah dibentangkan perlu dibahaskan.
"Laporan-laporan PAC boleh dibahaskan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 14(1)(l) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
"Perbahasan laporan-laporan PAC membolehkan rakyat mengetahui perkara-perkara yang telah disiasat oleh PAC sekali gus memberikan peluang kepada ahli-ahli parlimen untuk lebih memahami isu-isu yang dilaporkan dengan lebih mendalam", katanya dalam sidang media di Parlimen.
Mengulas lanjut, PAC akan melaksanakan prosiding bagi empat isu dibangkitkan melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 bermula bulan ini hingga 1 Ogos depan.
Ia membabitkan prosiding Pengurusan Air Negara di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Ia juga melibatkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada 29 Julai ini.