
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Orang ramai diingatkan agar lebih berwaspada terhadap peningkatan kes penipuan dalam talian, khususnya pada musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina yang sering menyaksikan pelbagai tawaran dan promosi menarik ditawarkan melalui platform digital.
- Waspada peningkatan penipuan dalam talian semasa musim perayaan dengan tawaran dan promosi mencurigakan.
- Hati-hati dengan tawaran perkhidmatan pembersihan rumah atau jualan kuih dan limau pada harga terlalu murah.
- Semak nombor akaun dan telefon sebelum membuat sebarang pembayaran atau berurusan melalui WhatsApp.
- Gunakan laman Semak Mule PDRM untuk mengesahkan nombor yang pernah terlibat dalam kes penipuan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, antara taktik yang kerap digunakan oleh sindiket penipuan termasuk tawaran perkhidmatan pembersihan rumah serta penjualan barangan perayaan seperti limau dan kuih pada harga yang terlalu murah.
“Sempena Tahun Baharu Cina, kita nampak banyak promosi seperti mencuci rumah, membersihkan rumah, jual limau atau kuih dengan harga yang sangat menarik. Dalam situasi ini, masyarakat perlu lebih berhati-hati,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya membuat semakan melalui laman web Semak Mule yang dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum melakukan sebarang transaksi dalam talian atau berurusan dengan individu yang menghubungi melalui aplikasi mesej seperti WhatsApp.
“Sebelum kita buat sebarang bayaran transaksi dalam talian atau apabila ada pihak yang menghubungi melalui WhatsApp, adalah lebih bijak untuk kita semak nombor akaun atau nombor telefon tersebut di Semak Mule bagi memastikan ia tidak pernah digunakan oleh scammer,” katanya.
Beliau berkata Semak Mule memaparkan senarai nombor akaun bank dan nombor telefon yang pernah digunakan dalam kes penipuan berdasarkan laporan polis yang diterima, sekali gus membantu orang ramai mengelakkan diri daripada menjadi mangsa scam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan kerja Tahun Baharu Cina ke Wisma Berita dan Wisma Radio, Angkasapuri.