KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Orang ramai kini boleh mula menyemak kelayakan masing-masing bagi menerima Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan kerajaan sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Menerusi inisiatif tersebut, setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas akan menerima bantuan tunai RM100 secara one-off yang akan dikreditkan terus ke MyKad masing-masing mulai 31 Ogos ini.
Bantuan itu boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 4,000 premis berdaftar seluruh negara termasuk pasar raya besar, kedai runcit serta premis tempatan di bawah rangkaian MyKasih.
Semakan kelayakan boleh dibuat melalui portal rasmi STR di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), portal MyKasih atau talian bantuan yang disediakan.
Kerajaan dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan sebarang bentuk penipuan berkaitan pendaftaran SARA kerana bantuan itu diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan.