fb fb fb fb fb

Ops Campur: KPDN perketat siasatan campuran beras import & tempatan

S. Jegan (kanan) ketika majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 di Simpang Ampat, Pulau Pinang / RTM

SIMPANG AMPAT, 24 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah menjalankan 85 pemeriksaan dalam Ops Campur, bagi mengesan sebarang pencampuran beras import dan tempatan secara tidak sah oleh pengilang dan pembungkus beras.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan, berkata negeri itu mempunyai sembilan kilang beras, dan setakat ini, tujuh daripadanya telah diperiksa. Sampel beras telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut bagi menentukan ketulenan kandungannya.

"Dua lagi kilang belum diperiksa kerana mereka tidak menjalankan pembungkusan. Kami masih menunggu keputusan ujian makmal, tetapi pemeriksaan telah dijalankan bukan hanya di peringkat kilang, malah merangkumi pemborong dan peruncit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 di Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Skim kawalan harga berkuat kuasa mulai hari ini hingga 7 April 2025, merangkumi 26 jenis barangan kawalan, berbanding 22 jenis tahun lalu. Antara barangan baharu dalam senarai kawalan harga termasuk bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), lobak merah, dan santan.

Sebanyak 137 pegawai penguat kuasa dan 62 pegawai pemantau harga telah ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam dan pasar tani di seluruh Pulau Pinang bagi memastikan pematuhan harga terkawal sepanjang musim perayaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE