fb fb fb fb fb

Operasi carilamat mangsa bot karam memasuki hari keempat

Pasukan penyelamat melakukan operasi carilamat hari keempat dua mangsa bot karam di perairan Kemaman

KEMAMAN, 14 Ogos- Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dua mangsa bot karam di perairan Kemaman hari ini diteruskan bermula pukul 7.00 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, operasi yang memasuki hari keempat itu melibatkan bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu membabitkan 27 pegawai dan anggota.

Pasukan Skuadron Selam di bawah kendalian Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia juga akan meneruskan pencarian mangsa di sekitar kawasan kejadian.

Ariffin berkata, pencarian hari ini tidak mengguna aset udara.

Ahad lepas, sebuah bot nelayan yang membawa sembilan individu termasuk tekong untuk mencandat sotong dan memancing, karam selepas dilanggar tongkang.

Lima daripada sembilan mangsa terselamat, dua mangsa ditemukan lemas, manakala dua lagi masih hilang iaitu Aina Husna Mohamad Husaini, 25, dan Yusof Kassam, 66.

SITI AISHAH MD ISA