(Armizan Mohd Ali (dua kiri) meninjau persiapan OPA di Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor)
SUBANG, 13 Jun- Operasi pembenihan awan (OPA) akan menggunakan pendekatan serampang dua mata iaitu memastikan empangan tadahan air terlibat mempunyai kapasiti air mencukupi serta tidak menjejaskan sektor pertanian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi berkaitan telah mengenal pasti sekurang-kurangnya enam sungai untuk OPA.
Enam sungai tersebut adalah Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang dan Sungai Similajau.
"Objektifnya pertama, selain memastikan empangan mempunyai kapasiti air yang kondusif mencukupi, tetapi pada masa sama salah satu objektifnya adalah untuk memastikan kita dapat membantu juga sebagai salah satu pelan mitigasi dalam menangani impak sektor pertanian.
"Sektor pertanian ketika ini terkesan dengan fenomena rejim cuaca monsun barat daya yang membawa keadaan panas dan kering dan menyebabkan kurangnya taburan hujan," katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan akhir OPA memfokuskan kawasan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang (Pulau Pinang) di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini pada Isnin.
Kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera sesuai seperti kelembapan tinggi, kehadiran awan kumulus selain kelajuan angin lemah dan faktor itu membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran.
“Kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan perlu dikaji terlebih dahulu oleh MetMalaysia bagi menjamin kejayaan OPA,” katanya.
Ujar Armizan, kerajaan negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan operasi itu boleh mengemukakan syor kepada pihak NADMA untuk penilaian.
(Armizan Mohd Ali)