fb fb fb fb fb

Op Selamat Aidilfitri: Polis kenal pasti 66 lokasi ‘blackspot’ kemalangan di Kelantan

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhd Yusuff Mamat menyantuni pengguna jalan raya sempena Op Selamat 24 menjelang hari raya aidilfitri di sini hari ini / BERNAMA

KOTA BHARU, 29 Mac- Sebanyak 66 lokasi berisiko tinggi kemalangan atau ‘blackspot’ di seluruh Kelantan telah dikenal pasti dan akan diberi tumpuan sepanjang Op Selamat Aidilfitri 2025.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata lokasi tersebut melibatkan jalan-jalan utama yang sering digunakan pengguna jalan raya, khususnya ketika musim perayaan.

Antara laluan yang mencatatkan kadar kemalangan tinggi ialah Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, serta Jalan Gua Musang-Jeli.

Selain itu, sebanyak 41 lokasi ‘hotspot’ turut dikenal pasti sebagai kawasan yang sering mengalami kesesakan lalu lintas yang serius.

Bagi menangani kesesakan, Polis Kelantan telah menubuhkan Skuad Khas Jem dan Skuad Lancar yang akan bertindak segera bagi memastikan kelancaran trafik di negeri ini.

"Skuad khas ini akan ditempatkan di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD). Jika berlaku kesesakan, mereka akan turun ke lokasi untuk membuat pemantauan serta tindakan segera," katanya dalam sidang media selepas Program Santuni Petugas dan Anggota Trafik di Jalan Hamzah, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 104 lokasi Point of Duty juga telah diwujudkan di seluruh Kelantan sebagai langkah mengawal aliran trafik sepanjang musim perayaan.

Op Selamat Aidilfitri kali ini turut memberi penekanan kepada enam kesalahan utama yang sering menjadi punca kemalangan jalan raya, antaranya memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak mematuhi lampu isyarat serta memotong di garisan berkembar.

Selain itum pemanduan bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar turut menyumbang kepada peningkatan kes kemalangan.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuai atau gagal mematuhi undang-undang sepanjang tempoh operasi dijalankan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE