fb fb fb fb fb

Op Selamat 23 catat penurunan kes kemalangan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain/ BERNAMA

PETALING JAYA, 4 Februari- Op Selamat ke-23 sempena Tahun Baharu Cina kali ini menyaksikan penurunan kes kemalangan jalan raya sebanyak 902 kes iaitu 10 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata sepanjang operasi enam hari itu merekodkan 7,882 kes kemalangan dengan 66 kematian.

"Jumlah tersebut menunjukkan penurunan dan ia dengan jelas menggambarkan bahawa tahap kesedaran dan kefahaman masyarakat semakin baik terhadap peraturan dan undang-undang lalu lintas.

"Kerjasama erat segenap lapisan masyarakat menerusi pelbagai program pencegahan jenayah, pelancaran kempen kesedaran dan meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan kediaman dan premis perniagaan diatur gerak secara agresif bagi mengoptimumkan keamanan dan kesejahteraan awam", katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Op Selamat-23 sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Bangunan Persada PLUS, di sini.

Tambahnya lagi, golongan penunggang dan pembonceng motosikal masih direkodkan sebagai golongan yang mencatatkan angka korban tertinggi dengan merekodkan 47 kematian.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 124,286 saman dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 23, berbanding 183,033 saman pada Op Selamat 21.

ROSLINA BINTI DIN