KUALA LUMPUR, 8 Februari- Sebanyak 13 buah bas ekpres disekat dan tidak dibenarkan berada di atas jalan raya selepas mendapati tidak mencapai standard keselamatan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, tindakan itu diambil menerusi pemeriksaan yang dalam Op Khas Terminal sempena bulan sambutan Tahun Baharu Cina 2024 kali ini.
Beliau berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap sebanyak 2,801 bas ekspres di 28 terminal di seluruh negara sejak 1 Februari hingga semalam.
"Hasil pemeriksaan, kita dapati 44 buah bas ekspres telah diambil tindakan kerana tidak mencapai standard keselamatan sebagaimana yg ditetapkan sebahagian undang-undang dan 13 daripadanya terus kita tidak benarkan untuk berada di atas jalan raya kerana tahap keselamatan yang sangat rendah dan tidak mencapai standard yang ditetapkan.
"Kami juga telah menjalankan ujian saringan urin terhadap seramai 187 pemandu bas ekspres setakat ini empat daripa mereka telah menggunakan bahan terlarang", katanya ketika ditemui pemberita dalam Op Khas Terminal di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi malam tadi.
Tambah Lokman, kes empat pemandu bas ekspres diuji positif dadah terlarang itu telah diserahkan kepada pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut berlandaskan undang-undang.
Selain itu, JPJ juga telah memeriksa syarikat-syarikat pengendali bas ekspres serta pemandunya di seluruh negara sama ada mereka masih memiliki tunggakan saman mahu pun saman dari polis yang masih belum dijelaskan.
Pemeriksaan teknikal turut dijalankan terhadap tayar, brek dan peralatan keselamatan bas ekspres untuk menentukan ia dalam keadaan baik serta memastikan perjalanan penumpang ke destinasi yang dituju selamat.
JPJ akan meneruskan pemeriksaan itu secara lebih rutin dari semasa ke semasa sepanjang bulan perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah yang bermula sejak 1 hingga 29 Februari ini untuk menjamin keselamatan semua pihak.