SEPANG. 8 Februari- Seramai kira-kira 22,000 penumpang menerima manfaat inisiatif kerajaan menerusi penerbangan tambang tetap berpatutan ke Sabah dan Sarawak sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan sangat menghargai pihak yang menyokong inisiatif menawarkan tambang lebih berpatutan khususnya semasa musim perayaan.
"Kita amat berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong inisiatif ini kerana penerbangan tambahan ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
"Bukan sahaja syarikat penerbangan, tetapi juga operator lapangan terbang sebab mereka perlu menambah masa khususnya kalau balik ke Sabah dan Sarawak, umpamanya di Sibu, mereka perlu beroperasi tambahan masa (atau) pas lewat malam, begitu juga pengawal trafik udara dan sebagainya," katanya
Tambah Loke, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan bagi menawarkan lebih banyak penerbangan pada harga berpatutan untuk musim perayaan akan datang.
"(Inisiatif) ini sudah tentu memberikan ruang kepada lebih ramai anak-anak daripada Sabah dan Sarawak untuk kembali kampung masing-masing untuk menyambut Tahun Baharu Cina.
"Inisiatif ini akan diteruskan dan akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menawarkan lebih banyak penerbangan dan juga pada harga berpatutan, bukan sahaja untuk musim Tahun Baharu Cina, tetapi untuk musim-musim akan datang, khususnya untuk musim Hari Raya Aidilfitri dalam masa dua bulan lagi, begitu juga Hari Gawai, Krismas dan sebagainya.
Beliau ditemui pemberita pada sidang media selepas pelepasan penumpang AirAsia bagi penerbangan lewat malam istimewa dengan tambang tetap berpatutan sempena musim perayaan dari Kuala Lumpur ke Sibu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini.