fb fb fb fb fb

Onn Hafiz cadang Iskandar Malaysia, Pengerang jadi lokasi JS-SEZ

Datuk Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI, 12 Mei- Iskandar Malaysia dan Pengerang dicadang menjadi lokasi berpotensi untuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Lokasi tersebut merangkumi keluasan 3,505 kilometer persegi, melibatkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT).

Satu sesi libat urus bersama-sama 18 kementerian akan diadakan pada awal Jun depan, bagi memastikan inisiatif zon ekonomi itu menepati objektif sekali gus memanfaatkan rakyat.

Antara perkara yang bakal dibincangkan ialah isu keselamatan nelayan di kawasan Forest City, serta harga tanah, seperti yang disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad.

"Seperti saya cakap tadi, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri, niat kita sentiasa adalah untuk rakyat dan bangsa Johor.

"Itu niat kita, menaik taraf untuk mereka, memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan," katanya semasa Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar.

Selain itu, pihak terlibat perlu bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan lebih banyak rumah mampu milik dapat dibina di JS-SEZ.

Kerajaan Johor bersama-sama Kerajaan Persekutuan juga komited, memastikan perjanjian itu dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Sebanyak 16 sektor ekonomi dicadang untuk dibangunkan di JS-SEZ, antaranya elektrik dan elektronik, perubatan, farmaseutikal, penerbangan, logistik dan kewangan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI