(Dua OKT warga Indonesia yang melarikan diri berjaya ditahan semula)
KULAI, 12 April- Dua tahanan yang melarikan diri semalam berjaya ditangkap antara pukul 9.00 malam semalam dan 10.40 pagi tadi.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria berkata, Riki Rinaldi ditangkap pasukan polis, kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia melarikan diri.
Manakala Samirudin ditangkap pagi tadi tidak jauh dari lokasi dia melarikan diri.
Riki ditemui dalam keadaan tidak bermaya berikutan kecederaan dialami ketika terjun daripada kenderaan.
Semalam, kedua-dua tahanan melarikan diri ketika dalam perjalanan dari mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang.
Mereka bertindak membuka gari dan meloloskan diri ke hutan berhampiran.
Siasatan dalaman dijalankan Maritim bagi membolehkan tindakan diambil jika berlaku perlanggaran prosedur keselamatan membawa tahanan.
(Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim, Nurul Hizam Zakaria / BERNAMA)