(FOTO BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 12 April- Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta.
Tertuduh memohon dibicarakan terhadap kelima pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan antara tahun 2014 sehingga 2017.
Mengikut kelima-lima pertuduhan, Datuk Seri Azlan didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram daripada Sri Kedawang Travel and Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel and Tours Sdn Bhd dan Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel.
Pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang RM208,339.90 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. melalui cek Maybank yang dibayar ke dalam akaunnya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 19 Februari 2014.
Pertuduhan kedua, di lokasi sama pada 9 Februari 2015, tertuduh sekali lagi menerima hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM196,651.00 daripada Sri Kedawang Travel & Tours melalui cek Maybank yang dibayar ke dalam akaunnya.
Pada 2 Februari 2016, di CIMB Bank cawangan Putrajaya tertuduh telah menerima wang sejumlah RM224,404.40 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd. melalui sekeping cek Maybank dibayar ke dalam akaun CIMB miliknya.
Pertuduhan keempat, di lokasi sama, pada 3 April 2017 tertuduh sekali lagi menerima wang sejumlah RM222,811.95 daripada Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. melalui sekeping cek CIMB Islamic Bank yang dibayar ke dalam akaun CIMB Bank milknya.
Pertuduhan kelima, pada Disember 2017 di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, tertuduh menerima hasil daripada aktiviti haram, wang tunai sejumlah RM207,468.00 daripada Abdul Rahim Bin Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd.
Pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Hakim Azura Alwi membenarkan jaminan RM 50,000 dengan 9 Jun ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
(FOTO BERNAMA)