(FOTO FAIL)
BAGAN DATUK, 12 April- Pembinaan jalan dan jambatan yang menghubungkan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop dijangka siap sepenuhnya, 31 Mei ini.
Jabatan Kerja Raya dalam satu kenyataan memaklumkan ketika ini pelaksanaan projek masih mempunyai baki yang belum siap terutama melibatkan aspek keselamatan.
Keputusan ini dibuat selepas melihat kerja-kerja akhir oleh kontraktor utama dan pihak jabatan ingin memastikan semua kerja pembinaan dapat diuji secara komprehensif dan melalui proses pewartaan sebelum dibuka kepada umum.
Projek dibiayai oleh kerajaan persekutuan dan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR.
Pada 23 Januari lalu, semasa lawatan Ahli Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Ahmad Zahid Jamidi bagi melihat status semasa projek ini, beliau telah mengumumkan tarikh bermulanya operasi Jambatan Bagan Datuk sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023.
Kenyataan itu dibuat hasil perancangan serta unjuran oleh kontraktor utama dan penilaian semasa oleh jabatan yang optimis untuk jambatan dibuka kepada orang awam.
Projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Bagan Datuk dan menjadi akses pengangkutan utama pengguna dengan masa perjalanan yang lebih singkat.
Ia akan menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan bandar-bandar utama seperti Lumut, Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.
(FOTO FAIL)