KUALA LUMPUR, 27 Mei– Malaysia bertekad memperkukuh ekosistem latihan kemahiran serantau dengan menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya lima juta penduduk ASEAN menerusi Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 21 Jun ini di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Program tersebut menawarkan 65,000 kursus pembangunan kemahiran percuma dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, teknologi hijau dan kepimpinan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, NTW 2025 yang julung kali diperluaskan ke peringkat ASEAN itu dijangka memberi pendedahan kemahiran berkualiti tinggi dengan nilai manfaat hampir AS$600 juta atau RM2.5 bilion.
“Selain syarikat latihan tempatan, NTW 2025 turut menarik penyertaan gergasi global seperti Microsoft, Udemy, Awantech dan Alibaba Cloud,” katanya semasa merasmikan Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan, hari ini.
Steven berkata, sasaran lima juta peserta ASEAN menjadi bukti komitmen Malaysia dalam pembangunan modal insan serantau yang inklusif dan mampan.
“Pendedahan ini bukan hanya memacu pertumbuhan ekonomi serantau, tetapi memperkukuh peranan ASEAN sebagai hab latihan kemahiran global,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran simposium ini merupakan antara empat program utama di bawah inisiatif Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025, yang turut meliputi Persidangan Latihan Pasaran ASEAN (Julai), Persidangan TVET ASEAN (Ogos), dan Forum Latihan Global serta Forum Menteri Buruh ASEAN (Oktober).
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi penyedia latihan kemahiran bertaraf dunia, sambil membina kerjasama erat dengan negara serantau,” katanya.