
PUTRAJAYA, 23 Mac – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia terus memperkukuh keupayaan pemantauan serta ramalan cuaca negara bagi menghadapi cabaran perubahan iklim.
- Integrasi AI dan analitik data raya ke dalam Sistem Amaran Awal Multi-Bahaya untuk menyampaikan amaran banjir, ribut dan cuaca ekstrem dengan lebih pantas.
- Memperkasa Pusat Kecemerlangan Iklim Negara sebagai teras penyelidikan impak perubahan iklim bagi menyokong penggubalan dasar adaptasi nasional.
- Meningkatkan literasi cuaca melalui program "Meteorologi Untuk Rakyat" dan memupuk kesiapsiagaan komuniti terhadap amaran serta tindakan pencegahan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya ke dalam Sistem Amaran Awal Multi-Bahaya (MHEWS).
Inisiatif tersebut membolehkan maklumat amaran awal berkaitan banjir kilat, ribut tropika dan fenomena cuaca ekstrem disampaikan dengan lebih pantas kepada agensi pengurusan bencana serta masyarakat.
“Usaha ini bertujuan untuk membudayakan sikap kesiapsiagaan dalam kalangan komuniti agar setiap amaran yang dikeluarkan dapat diterjemahkan kepada tindakan pencegahan yang efektif,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Meteorologi Sedunia 2026, hari ini.
Tambah Datuk Seri Arthur, pemerkasaan Pusat Kecemerlangan Iklim Negara turut diberi keutamaan sebagai teras penyelidikan impak perubahan iklim bagi menyokong penggubalan dasar adaptasi nasional.
Dalam pada itu, NRES turut memberi penekanan terhadap peningkatan literasi cuaca dalam kalangan masyarakat melalui program “Meteorologi Untuk Rakyat”.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia termasuk menyokong inisiatif Early Warnings for All.