KUALA LUMPUR, 4 Disember - Kementerian Kerja Raya (KKR) menggangarkan nilai kerosakan infrastruktur disebabkan Monsun Timur Laut berjumlah RM327.8 juta
.Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah tersebut melibatkan RM225.9 juta bagi jalan berturap, RM47.4 juta bagi jalan tidak berturap dan RM54.5 juta bagi cerun.
Katanya, setakat ini semua kerosakan aset awam, termasuk jalan raya dan infrastruktur berkaitan dipantau oleh pusat operasi bencana kementerian yang dikenali sebagai Bilik Gerakan Bencana atau 'Big Ben' yang beroperasi 24 jam.
“Jadi apabila perkara ini dilaporkan dan dimaklumkan, sudah tentu kita akan mengambil tindakan segera.
"Tindakan pertama ialah menyiasat jenis dan bentuk kerosakan, selepas itu, kita akan pastikan kita dapat menganggarkan berapa kos diperlukan untuk membaiki atau memulihkannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Pendaftaran Personel Binaan Baharu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, hari ini.
Ditanya mengenai peruntukkan yang disediakan kerajaan dalam menghadapi bencana kali ini, Datuk Seri Alexander menjelaskan peruntukan RM500 juta yang diumumkan untuk impak monsun adalah bagi pengurusan bencana secara keseluruhan dan akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bukannya disalurkan sepenuhnya kepada KKR.
"Sudah pasti kementerian masih mempunyai peruntukan bagi kerja pembaikan ketika ini, namun bergantung kepada tahap impak Monsun Timur Laut itu sendiri."Setakat ini cuaca masih terkawal dan tidak seteruk tahun lalu yang menyebabkan kerosakan besar, tetapi kita berharap situasi semasa tidak bertambah buruk," katanya.
