JOHOR BAHRU, 2 Julai- Nilai aset kerajaan Persekutuan melebihi RM1 trilion, setakat ini.
Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, ia berdasarkan penilaian terhadap aset tanah dan bangunan yang dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bersama Jabatan Akauntan Negara (JANM) dalam tempoh 10 tahun ini.
"Kerajaan Persekutuan ada banyak aset. Asetnya sedang dikira, saya yakin ia lebih RM1 trillion. Berapa lebih itu belum lagi ditentukan sebab kita masih buat pengiraan terhadap aset itu," kata Ahmad kepada pemberita hari ini pada lawatan rasmi ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Johor di Bangunan JARO, Sungai Chat.
Bagaimanapun, nilai itu tidak termasuk beberapa aset kerajaan di luar negara.
Jelas Ahmad, nilai itu akan ada pertambahan sebanyak RM30 billion pada tahun ini, sekali gus bakal merekodkan pertambahan terhadap keseluruhan nilai aset negara.
(Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan ditemui pemberita pada lawatan
rasminya ke Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Johor, hari ini)