KOTA KINABALU, 6 Disember - Nilai ambang pengecualian e-invois dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta mulai tahun depan sebagai langkah kerajaan mengurangkan beban syarikat kecil dan sederhana (PKS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendengar secara langsung rungutan peniaga kecil mengenai kos melaksanakan sistem tersebut.
“Jadi kita kaji dalam masa singkat. Sudah kaji dan semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri, peringkat awal telah diputuskan. Syarikat-syarikat kecil dan sederhana merasakan ia menambah beban dan kos. Jadi, syarikat-syarikat kecil tidak perlu lagi dipaksa membuat e-invoicing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri memaklumkan Kerajaan Persekutuan akan memulakan pemantauan terhadap projek yang dilaksanakan bersama Kerajaan Negeri.
Usaha itu bagi memastikan kemajuan projek dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan selain mengenal pasti projek yang mengalami kelewatan, termasuk projek infrastruktur asas seperti bekalan air dan jalan luar bandar yang sering dibangkitkan penduduk.
“Mulai Januari, kita akan memulakan pemantauan projek bersama Kerajaan Negeri serta projek utama Kerajaan Persekutuan supaya kemajuannya dapat diteliti secara berkala.
“Jika sudah ada projek, kita mahu tahu punca kelewatan dan apa yang perlu disegerakan. Saya sendiri akan beri perhatian bagi memastikan tiada penangguhan,” katanya.