fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi untuk hari kedua berturut-turut berikutan kenaikan harga dalam pasaran minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Peniaga minyak sawit David Ng berkata kebimbangan berterusan terhadap pengeluaran pada masa hadapan dengan corak cuaca El Nino yang akan berlaku telah menaikkan harga niaga hadapan MSM lebih tinggi.

“Peningkatan haba berkemungkinan akan mengakibatkan pengeluaran MSM yang lebih rendah disebabkan keadaan yang lebih kering yang akan menjejaskan produktiviti minyak sawit dengan ketara,” katanya kepada Bernama.


(Foto hiasan)

Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2023 naik RM37 kepada RM3,478 satu tan, Julai 2023 menokok RM33 kepada RM3,480 satu tan, Ogos 2023 meningkat RM36 kepada RM3,452 satu tan, dan September 2023 naik RM27 kepada RM3,439 satu tan.

Kontrak Oktober 2023 meningkat RM23 kepada RM3,449 satu tan dan November 2023 menokok RM17 kepada RM3,464 satu tan.

Jumlah dagangan naik kepada 73,971 lot daripada 60,203 lot ketika ditutup pada Selasa manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 269,216 daripada 258,370 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Jun Selatan meningkat sebanyak RM50 kepada RM3,530 satu tan.
- BERNAMA

Media Baharu