fb fb fb fb fb

NGO GPTS hantar pasukan ke Turkiye, bantu penyaluran keperluan asas

SEPANG, 11 Februari- Gabungan NGO Prihatin Turkiye-Syria (GPTS) menghantar pasukan misi bantuan kecemasan gempa bumi Turkiye dan Syria.

Berbekalkan dana RM500,000, misi disertai sembilan petugas mewakili Global Peace Mission Malaysia, Malaysia for Syria, Cinta Syria Malaysia dan Childrity.

Wakil gabungan, Syahrir Azfar Saleh berkata misi menjurus kepada sokongan peralatan usaha mencari dan menyelamat selain membekalkan barangan keperluan kendiri berdepan musim sejuk.

Dua pusat perlindungan juga bakal diwujudkan, masing-masing di Gaziantep, Turkiye dan di Azaaz, Syria.

“Kita berikan bantuan dalam bentuk keperluan asas terutama kit musim sejuk, alatan pemanas, selimut, makanan, roti dan sebagainya. Ini antara tugasan pasukan awal ini dan juga membuat tinjauan bagaimana kita boleh membantu untuk misi akan datang," kata Syahrir Azfar kepada pemberita RTM di KLIA.


(FOTO AFP)

Pihaknya juga bakal meninjau keperluan bantuan sokongan bagi pemulihan jangka panjang selain pemulihan trauma dan psikososial kanak-kanak pada misi akan datang.

Untuk tujuan itu, sejumlah RM5 juta disasarkan bagi menggerakkan misi berkenaan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui pautan bantuangempa.com.

Media Baharu