fb fb fb fb fb

Pengukuhan kerjasama Malaysia-Thailand tercapai - PM

Foto FB PM

BANGKOK, 11 Februari- Lawatan Rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand mencerminkan hubungan akrab antara kedua-dua negara sebagai jiran rapat serta negara anggota ASEAN termasuk jalinan antara rakyat yang erat selain hubungan ekonomi yang kukuh.

Lawatan itu juga memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Sejak bulan lepas, kepimpinan tertinggi dan rakyat Thailand, mengalu-alukan lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara ini dengan liputan meluas media tempatan.

Ini kerana mereka menyifatkan kepimpinan dan pengalaman Datuk Seri Anwar tidak dapat disangkal terutama dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

Empat Memorandum Persefahaman (MoU) berjaya dimeterai melibatkan sektor tenaga dan ekonomi digital dengan lebih RM400 juta nilai peluang dalam sektor berkenaan diwujudkan, hasil usaha sama membabitkan syarikat Malaysia dan Thailand.


(Foto FB PM)

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan UiTM, Dr Mohammad Zulfakhairi Mokhtar, negara mampu mencorak masa depan cerah untuk berkembang maju meski dihimpit cabaran ekonomi global.

"Ini menunjukkan bahawa terdapat potensi yang sangat besar yang boleh disumbangkan oleh sektor ekonomi digital terutamanya kepada pendapatan negara atau ekonomi negara itu sendiri.

Antaranya melalui kemasukan pelabur asing dan juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu berasaskan ekonomi gig dan bentuk perniagaan yang memberi fokus kepada perniagaan berbentuk e-dagang," katanya kepada pemberita RTM.

Dalam Pertemuan Perniagaan dengan Pemimpin Industri - The Future of ASEAN, Datuk Seri Anwar mencadangkan idea penubuhan Tabung Kewangan Asia (AMF) dikaji semula bagi menghadapi krisis ekonomi.

Lawatan rasmi itu juga menyaksikan Malaysia dan Thailand bersetuju secara dasar dalam usaha membantu mewujudkan keamanan di selatan Thailand.

Malah usaha Perdana Menteri dalam memperkukuh hubungan erat antara umat Islam di Malaysia dan Thailand juga diberi pujian.

Perkara tersebut turut disuarakan Naib Presiden Pusat Islam Thailand, Profesor Dr. Jaran Maluleem.

"Beliau sendiri sangat mengenali Thailand. Sejak muda, beliau selalu datang ke Thailand dan bekerja dengan belia Thai. Mereka yang ingat pasti faham Anwar adalah salah seorang aktivis dunia Islam dan mempunyai hubungan baik antara masyarakat muslim Thailand dan Malaysia," jelas Dr. Jaran kepada pemberita RTM.

Media Baharu