fb fb fb fb fb

Najib Razak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes 1MDB

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 25 Ogos- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadiri perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan dana RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini.

Selepas dua hari dipenjara, pihak Mahkamah mengeluarkan Perintah Kehadiran supaya bekas Perdana Menteri itu hadir pada prosiding berkenaan.

Ahli Parlimen Pekan itu tiba di mahkamah pada pukul 8.27 pagi diiringi beberapa kenderaan polis dari Penjara Kajang.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan itu dilihat memakai suit bewarna biru gelap ketika memasuki kamar perbicaraan.

Datuk Seri Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dalam jumlah sama.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Lima panel hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati tiada sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, yang pada ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bekas Perdana Menteri itu akan menjalani hukuman penjara 12 tahun bermula Selasa lalu.


(Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Persekutuan hari ini
bagi prosiding perbicaraan 1MDB/Fail)

 

Media Baharu